EKSPIDISI KE PUNCAK KINABALU SEMPENA 60 TAHUN BULAN SABIT MERAH MALAYSIA

Submitted by administrator on 6 May 2008 - 4:55pm.
EkpidisiKinabalu.JPG

Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke 60 Bulan Sabit Merah Malaysia dan Sambutan Ulang tahun Palang Merah/Bulan Sabit Merah Sedunia 2008, Cawangan Kelantan telah menunjukkan inisiatif bagi mendaki Gunung Kinabalu, Sabah. Mandat yang telah diberikan oleh IFRC tidak disia-siakan, lantaran itu satu ekspidisi ke puncak Kinabalu akan dilakukan oleh Ahli-ahli BSMM Cawangan Kelantan dan ini adalah merupakan pertama kalinya BSMM mengambil bahagian dalam ekspidisi seumpama ini.

Tema Bersama Untuk Kemanusiaan (Together for Humanity) telah menyuntik semangat ahli-ahli BSMM khususnya dari Cawangan Kelantan untuk menawan gunung berkenaan.

Seramai tujuh (7) orang ahli telah mengikuti ekspidisi tersebut yang diketuai oleh En. Norudin Yaacob, En. Muhamad Nazari, Dr. Wan Hasnan, En. Muhamad Kharudi, En. Nik Mohd. Mustakim, En. Mohd. Zikri dan En. Mohd. lkhwan di mana ini juga melambangkan 7 Prinsip Asas Pergerakan Palang Merah & Bulan Sabit Merah iaitu Kemanusiaan, Kesaksamaan, Keberkecualian, Kebebasan, Khidmat Sukarela, Ketunggalan dan Kesejagatan. Peserta Ekspidisi ini telah berlepas pada 6hb Mei 2008 dari LCCT, Sepang pada jam 2.30 petang dan akan mendaki seterusnya menawan puncak Gunung Kinabalu pada 8hb Mei 2008. Turut berada di LCCT ialah Naib Pengerusi Kebangsaan dan juga Pengerusi Cawangan Kelantan, Tuan Hj Wan Azhar bin Hj Wan Mohd. Ali untuk memberi sokongan moral dan semangat kepada peserta ekspidisi. Seramai 4 orang staf IPK turut berada di LCCT mereka terdiri daripada Pengarah, Pembangunan dan Perhubungan En. Jasni Hashim, Pegawai Luar Pembangunan Organisasi En. Azmi Tajudin, Pegawai Penjaga Kesihatan Tuan Hj Makhtar Hamzah dan Pegawai Sukarelawan Puan Norsiah Mohamed Ali.