KOTA KINABALU, 16 Feb (Malaysiaktif) – Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya melalui Kelab Rekreasi dan Kebajikan Pensyarah, mengorak langkah mendidik pelajar melalui penyerahan sumbangan bantuan mangsa bencana banjir kepada Bulan Sabit Merah Sabah.

Timbalan Pengarah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Dr.Rosmawati Hamzah berkata penyerahan sumbangan bantuan ini merupakan satu tanggungjawab sosial IPG kepada masyarakat yang mengalami musibah banjir di Kota Marudu, Pitas dan Beluran.

“Sumbangan berbentuk barangan keperluan dan wang tunai RM1,000 ini merupakan satu komitmen berterusan dari IPG memberi bantuan kepada masyarakat di negeri ini yang ditimpa musibah bencana sama ada banjir, gempa atau sebagainya.

“Selain itu, aktiviti penyampaian bantuan ini juga adalah sebagai memberi pendedahan kepada 28 pelajar bakal guru yang menyertai program ini untuk memahami dan merasai sendiri kesusahan yang dihadapi mangsa.

“Ini secara langsung mendidik sifat insaniah dalam diri pelajar yang bakal bergelar guru untuk terus menerapkan sikap membantu dalam kalangan para pelajar mereka nanti sebagai didikan awal erti kemanusiaan.

Jelasnya lagi, sumbangan yang diberikan bukan setakat bantuan berbentuk fizikal seperti barangan keperluan harian malah ia turut meliputi sumbangan berbentuk pendidikan mengenai aspek perkongsian idea atas asas pendidikan kerana para pelajar memang sudah terlatih dalam kaedah kaunseling.

“Sumbangan dan bantuan IPG melalui kolaborasi bersama Bulan Sabit Merah Sabah (BSMM) ini bukan kali yang pertama malah ia berterusan mengikut aspek bantuan yang diperlukan.

“IPG juga banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan bukan setakat bersama BSMM sahaja malah dengan penduduk kampung dan pemimpin masyarakat setempat dalam usaha membantu setiap mangsa yang terlibat dengan bencana di negeri ini,” ujarnya.

Rosmawati berkata demikian semasa ditemui media pada program penyerahan bantuan mangsa banjir dari kelab Rekreasi dan Kebajikan Pensyarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya di Rumah Bulan Sabit Malaysia Sabah semalam.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Bulan Sabit Merah Malaysia Sabah, Elizabeth Chin Sikayun berkata BSMM menerima pelbagai sumbangan dan derma daripada orang ramai, persendirian dan persatuan mahupun kelab rekreasi sejak bulan Januari tahun ini.

Elizabeth Chin Sikayun menyatakan ketulusan BSMM berkhidmat membantu masyarakat dalam apa jua bentuk bantuan kecemasan
Elizabeth Chin Sikayun menyatakan ketulusan BSMM berkhidmat membantu masyarakat dalam memberi apa jua bentuk bantuan kecemasan kepada yang memerlukan
“Antara persatuan atau kelab yang sering tampil memberi bantuan seperti Rotary Club dan Jesselton Reds yang memberi sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan pakaian.

“Selain itu, BSMM Sabah turut menerima sumbangan berbentuk wang ringgit berjumlah RM6,000 yang disalurkan terus ke akaun BSMM Sabah.

Tambahnya, setiap sumbangan derma bantuan yang diterima, Pengurusan Bencana BSMM akan berkerjasama dengan pusat jawatankuasa bencana di lokasi kejadian bagi menyelaras penyaluran atau penghantaran barangan bantuan tersebut.

“Terbaharu, pengurusan bencana BSMM telah menghantar bantuan peralatan dapur dan barang makanan untuk mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan SK Pekan 2 Pitas baharu-baharu ini.

“Mewakili BSMM Negeri Sabah mengucapkan berbanyak terima kasih atas komitmen semua pihak terutama para penderma dalam usaha membantu mangsa banjir tersebut.

Katanya, BSMM sedia berkhidmat membantu masyarakat dalam sama ada dari segi perkhidmatan ambulan, pertolongan cemas dalam komuniti dan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atas kebenaran BSMM menjalankan aktiviti penjagaan kesihatan asas di seluruh sekolah rendah di negeri ini.

Photo by Malaysia Aktif

#malaysianredcrescent #bsmmsabah

Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya Serah Bantuan Kepada BSMM Sabah