TERENGGANU, 5 JAN 2017 –  11 anggota Skuad Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Ibu Pejabat yang diketuai oleh  Encik Fauzi Mat Nawi bersama 5 buah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah lori bermuatan barang-barang makanan, ubat-ubatan dan barang kelengkapan menghadapi banjir telah ke Terengganu iaitu ke Kg Tadok dan Kg Padang. 

Misi bantuan itu tiba di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Tadok dan disambut oleh Pengerusi BSMM, Datuk Wira Dr Haji Bahari bin Datuk Abu Mansor kira-kira jam 8.30 malam.

Sumbangan telah disampaikan kepada penduduk kampung yang terjejas banjir di pusat pemindahan sementara. Sumbangan yang diberikan ialah hygiene kit, air mineral dan beberapa barangan keperluan asas bagi meringankan beban mangsa banjir. Misi bantuan ini juga mencakupi bantuan material serta sokongan moral (pyschosocial support) dengan tumpuan di kawasan yang mengalami kerosakan terutama di kampung angkat BSMM, Kampung Tadok dan Kampung Padang.

“Saya berharap misi ini dapat meringankan beban mangsa banjir ketika berada di pusat pemindahan sementara, atau di kampung atau rumah yang dinaiki air dan terputus hubungan,” kata Pengerusi BSMM, Datuk Wira Dr Haji Bahari bin Datuk Abu Mansor.

 

 

BSMM terus komited meneruskan misi bantuan sebegini yang bermula dengan misi bantuan untuk mangsa banjir di kampung angkat BSMM Kampung Tadok dan Kampung Padang serta daerah-daerah yang terjejas banjir di Pahang, Kelantan dan Johor. 

Pada 6 Januari 2017 Skuad BSMM terus bergerak ke Sekolah Kebangsana Kampung Besut yang dijadikan pusat pemindahan bagi mangsa banjir di Kampung Padang. Perjalanan hampir 2 jam meredah air banjir  dengan menaiki pacuan 4 roda itu juga adalah untuk menyampaikan bantuan serta memantau keadaaan semasa. Jumlah mangsa yang terlibat dengan pemindahan mencecah hampir 1,000 orang. Pihak berkuasa tempatan juga berusaha untuk memberikan bantuan serta menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa cuaca di kawasan terlibat.

Dalam sidang media bersama Bernama TV dan Astro, Datuk Wira Dr Haji Bahari bin Datuk Abu Mansor menyatakan komitmen BSMM untuk memberi bantuan secara berterusan sekirannya diperlukan. Selain daripada itu, usaha menyediakan tangki air bersih melalui inisiatif EWASH oleh BSMM juga akan dilakukan secepat mungkin bagi persediaan banjir yang akan datang.

 

MISI BANTU BANJIR SKUAD BULAN SABIT MERAH WILAYAH PERSEKUTUAN KE TERENGGANU