JAWATANKUASA KOORDINASI PENGURUSAN BENCANA DIWUJUDKAN BERSAMA AGNESI KERAJAAN
 
Kuala Lumpur, 15 November 2016 – Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) telah mengadakan satu mesyuarat untuk mewujudkan satu jawatankuasa pengurusan bencana bersama dengan agensi-agensi kerajaan. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Naib Presiden BSMM, Dr Selva Jothi dan telah diadakan di Ibu Pejabat BSMM di Kuala Lumpur.
 
Wakil daripada agensi-agensi kerajaan iaitu Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue), Jabatan Meteorologi Malaysia, RTM – Radio Televisyen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat – JKM hadir ke mesyuarat tersebut.
 
dsc_2270
 
Intipati utama mesyuarat tersebut adalah bagaimana untuk mengkoordinasi bantuan terutama ketika bencana antara BSMM dan agensi-agensi kerajaan. Objektif utama kerjasama ini adalah untuk memastikan pengurusan bencana dan pengendalian kes-kes bencana dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
 
Wakil daripada Jabatan Meteorologi, Mohd Khairudin Bin Shaari berkata, “Beberapa kelemahan seperti koordinasi bantuan antara agensi yang bertanggunjawab menangani kes-kes bencana tidak dibuat secara sistematik yang menyebabkan penyaluran bantuan tidak berlaku dengan cekap. Selain daripada itu, ramalan cuaca yang dibuat terlalu awal menyebabkan ketepatan laporan tersasar jauh”.
 
Setiausaha agung BSMM Dato’ Sayed Rahman berkata “Program-program kesedaran berkaitan bencana khususnya banjir adalah amat perlu kepada penduduk di kawasan yang telah dikenalpasti sering berlakunya bencana. Penduduk perlu diberi kesedaran dan pendidikan berkaitan persediaan menghadapi bencana serta perkara yang perlu dilakukan ketika dan selepas bencana.”
 
Dato’ Sayed Rahman juga menambah, “Kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pelaksanaan program di peringkat sekolah juga diadakan di 7 buah negeri yang memupuk kesedaran berkaitan penjagaan kebersihan ketika bencana banjir. Program ini amat penting untuk pelajar-pelajar sekolah kerana mereka akan diberi pendedahan betapa pentingnya penjagaan kebersihan, keselamatan dan kesihatan”.
 
dsc_2262
 
 
Pengurusan pusat-pusat pemindahan juga akan dipertingkatkan melalui inisiatif oleh JKM untuk memperbaiki kemudahan asas bagi keselesaan mangsa banjir khususnya. Infrastruktur yang lebih baik juga akan diperbaiki untuk lebih menepati standard antarabangsa.
 
Perkara yang menjadi keutamaan penubuhan jawatankuasa pengurusan bencana ini adalah untuk memastikan strategi koordinasi yang berkesan, pengurusan sumber yang cekap, penggunaan tenaga sukarelawan yang bersesuaian dengan tugasan, serta penggunaan aset-aset bagi penyaluran bantuan dengan sistematik.
 
#MalaysianRedCrescent #bsmm #MRC

 

 

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bersama Agensi Kerajaan